Kepulan asap dilihat di ruang udara Gaza selepas serangan udara Israel. - Foto AP |
Bunyi amaran serangan udara pejuang menyebabkan penduduk Tel Aviv bergegas ke tempat perlindungan bawah tanah. Tel Aviv adalah sebuah bandar Mediterranean dan kali terakhir diserang roket adalah ketika Perang Teluk 1991.
Sumber Israel berkata, sebuah roket meletup di laut sementara satu lagi kena kawasan pinggir Tel Aviv.
Kawasan metropolitan Tel Aviv mempunyai lebih tiga juta penduduk, 40 peratus bilangan penduduk Israel.
Satu serangan roket Hamas mengenai bangunan empat tingkat di bandar Kiryat Malachi, mengorbankan tiga penduduk Israel.
Angka kematian di pihak Palestin meningkat kepada 20 orang, enam daripadanya kanak-kanak.
Jet tempur Israel mengebom sasaran di dalam dan sekitar Gaza buat hari kedua, menggegarkan bangunan tinggi.
Menandakan niat untuk memperhebat serangan, jurucakap tentera Israel berkata, pihaknya menerima lampu hijau untuk mengerah 30,000 tentera simpanan untuk bertugas.
Kepulan asap dan habuk menjulang ke langit berselang seli dengan serangan roket dari Gaza, bandar penuh sesak. Empat kanak-kanak yang terkorban akibat serangan Israel, disemadikan semalam.
Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak berkata pejuang Palestin akan menerima padah kerana melancarkan peluru berpandu.
Serangan yang diperhebat ini akan menyamai harga yang perlu dibayar mereka, kata Barak di televisyen.
Dalam serangan udara terbaru, tiga penduduk Palestin maut apabila peluru berpandu mengenai kereta mereka di utara Gaza.
Tentera Israel juga mendakwa memusnahkan 70 tapak pelancaran roket pejuang Palestin.
Sebuah jana kuasa elektrik yang memberi bekalan kepada rumah Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh di tepi pantai Gaza adalah antara sasaran peluru berpandu Israel.
Krisis terbaru dilancarkan Israel bermula dengan pembunuhan ketua tentera Hamas.
Israel berkata ia membalas serangan roket dari Gaza. Pengeboman Israel belum mencapai seperti kali terakhir ia menceroboh Gaza pada 2008 namun ia mengakui serangan tentera darat tidak mustahil.
Presiden baru Mesir, Mohamed Mursi, mengetuai kecaman terhadap Israel.
Perdana Menteri Mesir, Hisham Kandil, melawat Gaza bersama pegawai Mesir lain sebagai tanda sokongan kepada penduduk di situ, kata pegawai kabinet Mesir.
Reuters
Link
Lihat Video . . .
0 Response to "Dua Roket Palestin Kena Israel"
Posting Komentar