BIJI buah guarana yang berwarna hitam dan dikelilingi isi putih kelihatan seperti biji mata yang terbeliak. |
Namun, itulah yang dicari para pekerja tersebut. Guarana (Paullinia cupana) merupakan sejenis tumbuhan memanjat yang biasa ditemui di lembangan Amazon negara tersebut. Pokok tersebut mempunyai daun yang besar dan lebar serta memekarkan bunga yang bergugusan.
Begitu juga dengan buahnya yang bertukar warna dari perang ke merah. Apabila sudah matang, kulit buahnya merekah lalu menonjolkan bijinya yang berwarna hitam dan dikelilingi kelongsong putih. Warna kontras itulah yang dikaitkan dengan rupa biji mata.
LIHAT VIDEO :
Guarana sangat popular untuk dijadikan makanan tambahan yang bersifat perangsang. Bijinya menyimpan dua kali ganda nilai kandungan kafein berbanding yang ditemui dalam biji kopi.
PARA pekerja khusyuk memetik buah guarana di sebuah ladang di Maues. |
Kandungan bernilai tinggi menjadi bahan utama dalam pembuatan minuman ringan dan minuman tenaga terkenal di Brazil. Banyak syarikat tempatan berebut-rebut untuk mengkomersialkan ekstrak guarana dalam produk keluaran masing-masing.
Semua itu untuk disasarkan kepada permintaan konsumer. Rakyat Brazil dikenal pasti sebagai kelompok konsumer ketiga terbesar dunia yang gemar mengambil minuman ringan.
Bagi mereka yang mengunjungi Brazil, minuman berkarbonat guarana yang didatangkan dalam pelbagai jenama mesti dirasai.
Daripada sejenis pokok hutan biasa, ia kini sudah menjadi hasil ladang yang mengubah ekonomi sara diri penduduk di Maues, bahkan menjadi sumber pendapatan utama bagi wilayah tersebut.
Pekan Maues turut mendapat jolokan Tanah Guarana. Menyedari popularitinya yang semakin meningkat, buah itu dimasyhurkan dalam sebuah keraian bernama Festival Guarana.
SEORANG pengusaha gerai menghidangkan susu kocak berperisa guarana sempena Festival Guarana di Maues. |
Berlangsung sepanjang bulan November dan Disember, festival tersebut sudah menjadi acara penting dalam takwim pelancongan negara tersebut. Banyak acara jalanan dianjurkan untuk memeriahkan sambutannya seperti perarakan berhias dan persembahan hiburan.
Tidak ketinggalan, pameran produk makanan tempatan dan demonstrasi pemprosesan biji guarana turut mengambil tempat di banyak lokasi. Dari siang ke malam, anak-anak muda terus berpesta kerana tubuh mereka dipenuhi tenaga daripada pati buah guarana.
LINK
0 Response to "Petik 'biji mata' Amazon"
Posting Komentar