Air kopi memang sedap tapi berpada-pada pengambilannya |
Pernahkah anda mempunyai teman yang begitu ‘ketagih’ dengan minuman berkafein? Atau mungkin anda sendiri sedang mengalaminya? Secara asasnya, kandungan kafein boleh didapati pada biji kopi yang kemudiannya diproses menjadi serbuk dan dibancuh menjadi minuman. Ada di antara kita yang menjadikan kopi sebagai minuman wajib di pagi hari dan ada juga yang mendapatkannya apabila mahu menahan diri daripada mengantuk.
Ramai yang menyedari akan kesan negatif yang disebabkan oleh pengambilan kafein. Bagaimana pun dalam masa yang sama, ia turut mempunyai kebaikannya. Itu pun jika jumlah pengambilannya terkawal dan tidak melangkaui keperluan tubuh.
Pada sudut kesihatan, ada kajian dilakukan dan hasilnya menunjukkan pengambilan kafein mampu mengurangkan risiko penyakit Parkinson sehingga 80 peratus. Begitu juga dengan kanser usus, batu karang dan sirosis hati. Namun begitu, jumlah peratusan pengurangan risikonya adalah berbeza-beza.
Keletihan sering kali dijadikan alasan untuk mengambil minuman berkafein dengan lebih kerap. Ia mungkin juga ada benarnya kerana kafein dikatakan dapat membantu merangsang otak dan sistem saraf. Ramai di antara kita yang mendapat tindak balas yang seakan-akan tidak peduli akan keletihan sekali gus dapat meneruskan kerja yang sedang dilakukan. Otot turut merasa kesannya dengan mengecut dengan lebih kuat dan menjadikan seseorang kembali bertenaga.
Dalam pada itu, penggemar kopi harus berjaga-jaga kerana ia boleh mengakibatkan banyak kesan negatif terhadap kesihatan. Tidak salah menjadikan kopi sebagai minuman kegemaran namun pastikan jumlahnya tidak berlebihan. Mungkin ramai tidak mengetahui kafein boleh menyebabkan denyutan jantung menjadi tidak menentu. Ia bukanlah penyebab sakit jantung namun pesakit disaran agar tidak mengambil minuman berkafein sama sekali.
Bagi mereka yang mempunyai ulser, pengambilan minuman berkafein bukanlah langkah yang bagus. Ini kerana kafein mempunyai bahan yang merangsang penghasilan asid dan peptin di dalam perut. Jadi usah hairan jika tiba-tiba perut sakit dan rasa tidak selesa. Semuanya gara-gara jumlah pengambilan minuman berkafein yang lebi daripada yang sepatutnya.
Pelik tetapi benar. Bagi mereka yang sudah terbiasa mengambil minuman berkafein dalam rutin harian, berhenti daripada melakukannya bagaikan satu ‘penyeksaan’. Mereka yang ketagih pasti akan mengalami withdrawal symptoms seperti sakit kepala. Ia mungkin hilang dalam jangka masa sehari atau ada yang memerlukan sehingga lima hari. Ada juga yang perlu menyambung semula pengambilan kafein bagi menghilangkan sakit kepala.
Buat mereka yang ketagihan kopi, bukanlah perkara mudah untuk menghentikan tabiat ini. Pada awalnya ia mungkin akan menyebabkan rasa gementar, sakit-sakit badan, tidak berupaya untuk bekerja, lesu, mengantuk serta lesu.
Kesimpulannya, pengambilan minuman berkafein biarlah ada hadnya dan jangan dibiarkan sehingga menyebabkan ketagihan. Ambil dalam kuantiti sederhana dan jika boleh kurangkan pengambilannya hari demi hari. Mungkin bermula hari ini anda boleh meninggalkan kafein dan mengamalkan meminum air kosong atau jus buah-buahan yang ternyata lebih berkhasiat.
0 Response to "BAHAYA KETAGIHAN MINUMAN BERKAFEIN"
Posting Komentar