IKAN NAIK DARAT DI LAHAD DATU BUKAN KERANA GEMPA BUMI AKAN BERLAKU

KOTA KINABALU, MALAYSIA - Jabatan Meteorolgi Malaysia tidak mengesan sebarang pergerakan kerak bumi di sekitar Lahad Datu, yang dikaitkan dengan fenomena ribuan ikan tamban terdampar di pantai Kampung Tambisan Tungku, pagi semalam.


Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Sabah, Abdul Malek Tussin berkata, berdasarkan sistem amaran awal tsunami, keadaan dasar laut di kawasan berkenaan juga seperti biasa.
Bagaimanapun jabatan ini tetap memantau pergerakan kerak bumi terutama di dasar laut di kawasan terbabit, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Datuk Rayner Stuel Galid berkata, kejadian tersebut merupakan kali pertama berlaku di Sabah.

"Selalunya ikan tamban ini berada di tengah laut, jarang di tepi pantai,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah menghantar pegawai ke kawasan berkenaan bagi melakukan siasatan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Mat Shamsuddin pula berkata, pasukan keselamatan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana alam.

Dalam kejadian 8 hingga 9.30 pagi itu, ribuan ikan tamban seolah-olah naik ke darat dan menarik perhatian masyarakat setempat dengan ada antara mereka menganggap fenomena tersebut sebagai petanda bencana alam seperti tsunami. - Bernama / ALAMCYBER2020

0 Response to "IKAN NAIK DARAT DI LAHAD DATU BUKAN KERANA GEMPA BUMI AKAN BERLAKU"

Posting Komentar