PONTIAN BUKAN DI LANDA GEMPA BUMI

KEADAAN rumah kedai tiga tingkat yang mengalami kerosakan di bahagian tiang dipercayai akibat gempa bumi di kawasan komersial Kukup Laut, dekat Pontian, Johor, semalam.
PONTIAN 9 Jan. - Empat daripada 16 kedai tiga tingkat di kawasan perdagangan baharu yang dikatakan bergegar di Kukup Laut, dekat sini dipercayai mengalami kerosakan di bahagian tiang.

Kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi tadi yang disangkakan akibat gempa bumi itu menyebabkan orang ramai yang berada di dalamnya bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba Jalan Sekolah Arab, Zulbahar Sulong menafikan kejadian pukul 8.40 pagi itu ada kaitan dengan gempa bumi atau tsunami.
Beliau berkata, tiada sebarang laporan tentang gempa bumi atau gegaran yang diterima pihaknya di kawasan tersebut yang menyebabkan rumah kedai berusia dua tahun itu mengalami keretakan.

Menurutnya, para pelanggan yang berada di dalam sebuah kedai kopi di situ juga selamat tanpa sebarang kecederaan kerana mereka bergegas keluar setelah mendengar bunyi bising.

"Bagi mengelakkan sebarang kemungkinan, orang ramai telah diminta menjauhkan diri dari kawasan tersebut bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Bangunan komersial tersebut menempatkan kedai kopi, kedai makan, rumah tumpangan serta beberapa perniagaan lain.

Sementara itu, pemilik sebuah kedai makan, Tey Siang Huat, 50, memberitahu, dia terdengar bunyi bising seperti barang jatuh dari tingkat tiga sebelum berlari keluar bersama para pelanggannya untuk menyelamatkan diri.

Menurutnya, ketika kejadian terdapat 10 pelanggan sedang bersarapan dan enam pekerja di dalam kedai berkenaan.
Katanya, terdapat beberapa kesan retakan di dalam bangunan manakala tiangnya mula condong yang boleh membahayakan penghuni atau orang ramai di kawasan sekitarnya.

"Mungkin kami semua tidak akan menjalankan perniagaan sementara menunggu hasil siasatan sama ada bangunan kedai ini selamat untuk beroperasi atau sebaliknya," katanya.-SUMBER-

0 Response to " PONTIAN BUKAN DI LANDA GEMPA BUMI"

Posting Komentar