Air kencing yang diperolehi daripada lembu itu akan terus diminum. Meskipun terpaksa beratur panjang, mereka tidak memperdulikannya.
Salah seorang daripada mereka ialah Jairam Singhal, 42, yang telah minum air kencing lembu sejak sedekad lalu.
“Saya ada diabetes, dan sejak saya minum air kencing itu, kadar diabetes saya dapat dikawal.
“Kami menternak lembu di sini selama lebih 12 tahun dan perkara pertama kami lakukan setiap pagi ialah minum air kencing lembu ini,’’ katanya.
Menurut Singhal, beberapa tahun lalu tidak ramai yang berminat untuk minum air kencing lembu namun kini jumlah yang datang telah meningkat hampir setiap hari.
Dia mendakwa kebanyakan mereka adalah pesakit kanser. Lembu tersebut, bagaimanapun kata Singhal adalah lembu yang masih belum melahirkan anak. Air kencing lembu yang dikumpul sebelum matahari terbit adalah yang terbaik dan mampu memberikan kesan yang sangat mujarab.
KETAHUI LEBIH LANJUT KAITAN LEMBU DALAM BUDAYA HINDU.
Suatu perkara yang sepatutnya sudah diketahui masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara bertuah ini adalah bahawa kaum India beragama Hindu tidak makan daging lembu. Bagi sesiapa yang mengambil ikhtiar untuk bertanya, maka biasanya akan diberikan jawapan paling mudah iaitu bahawa lembu dianggap binatang suci dalam agama Hindu.
Alasan sebenar orang India tidak memakan daging lembu adalah berasaskan budaya dan kepercayaan tradisional bukan berikutan tuntutan agama semata-mata. Kaum India Hindu di serata dunia mempercayai bahawa lembu adalah anugerah Tuhan kepada umat manusia, lalu kurniaan istimewa itu perlu dihargai.
Sekadar contoh mudah, apabila melihat anaknya kelaparan, lembu betina akan segera bergegas mendapatkan si anak untuk menyusukannya. Begitulah dibandingkan dewa-dewi dalam konsep agama Hindu yang datang segera untuk membantu insan yang memerlukan bantuan.
Dalam kepercayaan kaum India, lembu juga dikatakan sama seperti Bumi dengan erti kata, sanggup menanggung sesiapa sahaja yang bergantung hidup padanya. Sebab itulah juga lembu dianggap sebagai “ibu” kerana Bumi, ibu dan lembu dikatakan mempunyai persamaan dari segi kesanggupan berkorban dan menanggung derita demi “anak-anak”.Sekiranya kita berpeluang memperhatikan kehidupan petani dan pesawah kaum India yang masih menggunakan khidmat lembu, maka kita akan lebih memahami sentimen kaum India terhadap haiwan berkenaan.
Sejak zaman dahulu, lembu memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat di Benua Kecil India. Hasil kajian arkeologi menemukan bukti kewujudan Tamadun Harappa dan Mohenjo-daro di Lembah Indus sekitar tahun 2500-1500 SM.
Antara barangan yang ditemui adalah mohor daripada batu yang mempunyai ukiran lembu jantan dan betina. Tentulah binatang berkenaan mempunyai peranan penting dalam kehidupan masyarakat pada waktu itu sehingga diabadikan pada mohor.
Lembu membantu petani dan pesawah untuk membajak. Haiwan itu juga digunakan untuk mengangkut barang serta menarik kereta lembu.
Ringkasnya, lembu merupakan binatang yang amat diperlukan dalam kehidupan seharian masyarakat India tradisional. Kita tidak perlu memiliki ijazah Doktor Falsafah untuk memahami, menyedari dan mengakui hakikat itu.
HUBUNGAN DENGAN DEWA
Dalam pada itu, bagi orang ramai yang berpeluang membaca teks Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) secara teliti dan mendalam, pasti tahu mengenai individu yang dikatakan lahir daripada muntah seekor lembu dan meneruskan jurai keturunan Melayu yang ada sekarang. Kalau diteliti dalam teks klasik India yang dinamakan purana iaitu cerita dewa-dewi, akan dijelaskan bahawa bukan hanya manusia bergantung pada lembu. Dewa-dewi sendiri mempunyai hubungan rapat dengan mamalia berkenaan.
Misalnya, Dewa Shiva menjadikan lembu sebagai wahana rasmi. Sekiranya kita berpeluang melawat kuil Dewa Shiva, pasti akan kelihatan patung lembu betina yang dinamakan “nandhi” di kuil berkenaan. Lembu turut menjadi wahana serta binatang kesayangan Dewa Krishna. Tidak setakat itu, purana menggambarkan Dewa Krishna sebagai pengembala lembu.
Terdapat juga sebuah cerita di mana Dewa Krishna mengangkat Gunung Govardhan semasa hujan lebat supaya para petani, penternak serta lembu mereka boleh berlindung di bawahnya. Sejak dahulu, petani kaum India merayakan ponggal iaitu pesta menuai selama beberapa hari. Hari kedua pesta menuai ini adalah Maatu Ponggal iaitu perayaan khas bagi lembu peliharaan.
Perayaan Maatu Ponggal adalah tanda terima kasih masyarakat India kepada lembu yang amat berguna dalam kehidupan seharian. Lembu dimandikan dan dibersihkan. Tanduk disapu cat pelbagai warna dan loceng baru dipasang pada leher. Lembu yang diraikan diberi makan nasi manis yang dimasak khas untuknya.
Keluarga petani dan penternak berbuat demikian sebagai tanda terhutang budi dan mengucapkan terima kasih kepada haiwan berkenaan. Lembu sesungguhnya memberi sumbangan besar kepada keluarga si penternak. Lembu jantan biasanya membantu membajak serta mengangkut barang. Lembu betina pula membekalkan susu yang amat diperlukan untuk diminum, dijadikan susu masam atau dijadikan minyak sapi.
Lembu turut membekalkan tahi yang dijadikan baja organik. Di India, tahi lembu juga dijadikan bahan bakar selepas dikeringkan termasuk sebagai bahan bakar apabila jenazah dibakar mengikut adat Hindu.
Kajian saintifik membuktikan bahawa tahi lembu mempunyai kandungan bahan kimia yang mampu menghalau serangga perosak dan membunuh kuman.
KOMATHA
Dewi berkenaan dianggap sebagai sumber kekayaan. Namun, tidak ramai termasuk kaum India beragama Hindu yang tahu bahawa Dewi Lakshmi dikatakan menghuni tahi lembu. Mitos dan purana ini sebenarnya bertujuan menunjukkan bagaimana “kekayaan” (Dewi Lakshmi) terdapat juga pada tahi lembu yang mungkin dianggap sebagai bahan buangan yang tidak berguna.
Air kencing lembu turut terbukti secara saintifik mengandungi bahan yang mampu mengubati beberapa penyakit kulit serta bertindak sebagai bahan antiseptik. Kelebihan ini ternyata sudah diketahui masyarakat India sejak sekitar tahun 2500 SM! Air kencing lembu biasanya direnjis pada lantai rumah untuk membersihkannya daripada kuman.
Tahi lembu yang dikeringkan pula sering dibakar dan asapnya dibiarkan memenuhi rumah kediaman. Langkah ini bagi membersihkan udara di dalam rumah daripada bakteria. Selain itu, khasiat susu lembu adalah suatu hakikat yang sudah diketahui umum. Secara tradisi, keluarga dalam masyarakat India bergantung pada susu yang dibekalkan oleh lembu peliharaan keluarga mereka.
Susu lembu menjadi minuman sejak bayi. Maka itulah lembu yang membekalkan susu tadi dianggap sebagai “ibu susu” bagi anak-anak dalam keluarga berkenaan. Konsep ini sama sahaja dengan konsep “ibu susu” yang terdapat dalam budaya kaum dan agama lain di seluruh dunia. Itulah juga antara sebab utama mengapa masyarakat India menganggap lembu peliharaan sebagai sebahagian daripada ahli keluarga berkenaan.
Malah, lembu digelar “komatha” iaitu gelaran sama seperti “ibu”. Sejak kecil, anak-anak dididik supaya menyayangi serta menghormati lembu yang dipelihara sebagai sebahagian daripada ahli keluarga.
Lembu juga menjadi simbol kemakmuran, kekayaan dan kebahagiaan. Apabila seseorang membeli atau membina sebuah rumah baru, maka tuan rumah akan mengadakan upacara sembahyang khas.
Pada upacara berkenaan, seekor lembu betina akan dibawa masuk ke dalam rumah. Lembu itu akan dibawa ke setiap bilik dan ruang yang terdapat di rumah berkenaan. Malah, jika rumah itu merupakan rumah dua atau tiga tingkat, lembu berkenaan akan dibawa menaiki tangga!
Tindakan ini dianggap sebagai mengundang Dewi Lakshmi (“kekayaan” dan “kemakmuran”) bertandang ke rumah.
Malah, tuan rumah dikatakan amat bertuah sekiranya lembu itu kencing atau berak semasa berada di dalam rumah berkenaan. Demikianlah lembu yang pendiam diberi kedudukan yang amat mulia dalam budaya kaum India sejak dahulu. Atas dasar itulah juga kaum India Hindu tidak menyakiti, menganiaya, membunuh apatah lagi makan! lembu hingga kini.
Mahatma Gandhi sendiri beranggapan bahawa lembu adalah wakil bagi manusia memahami dunia binatang yang bisu. Menurut beliau, walaupun “bisu” dan tidak mampu berkata-kata, lembu mampu berkomunikasi bersama manusia melalui pergerakan matanya yang besar dan bulat.
Apa yang pasti, kaum India-Hindu di seluruh dunia amat menghargai jasa lembu. Walaupun tidak ramai petani dan penternak kaum India yang masih memelihara lembu, amalan yang mendarah-daging sejak hampir 4,500 tahun lalu tentu sahaja sukar dilupakan.
Mungkin ada individu kaum India (khususnya yang tidak mengamalkan ajaran agama Hindu) yang makan daging lembu tetapi itu adalah kes terpencil yang tidak mewakili masyarakat India secara keseluruhan.
0 Response to "AIR KENCING LEMBU PENYEMBUH KANSER"
Posting Komentar